Tindakan agar Ketua Menteri meletak jawatan berniat jahat, tidak berasas – Redonah

KOTA KINABALU : Kenyataan Ketua Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO Sabah menggesa Ketua Menteri meletak jawatan merupakan sesuatu dilihat bersifat jahat sekali gus tidak berasas.

Ketua Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda berkata kenyataan mereka hanyalah bertujuan menjejaskan imej Ketua Menteri malah video pemimpin ditularkan belum ditentukan kesahihannya oleh pihak berkuasa.


Katanya, setakat ini tidak ada mana-mana pihak mempunyai kuasa untuk menghukum mereka yang terlibat.

“Jangan terlalu awal untuk menghukum selagi sebarang keputusan salah laku belum dinyatakan oleh pihak berkuasa perlu.


“Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Sabah cuba mengalihkan perhatian tentang kes mahkamah sedang berjalan mengaitkan pimpinan utama UMNO Sabah berikutan kesnya sedang berjalan di mahkamah serta diminta untuk membela diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Redonah berkata, tindakan  individu ini sudah jelas, terang lagi bersuluh, mempunyai niat lain sebenarnya sekali gis cuba menghalalkan usaha menghasut hasutan rakyat.

“Tindakan ini seolah-olah ingin mengikuti jejak pimpinan UMNO Sabah untuk mewujudkan semula ‘Langkah Kinabalu II’ bagi mendesak supaya diadakan pilihan raya segera.

“Sabar, tidak perlu gelojoh dan terlalu kemaruk untuk memegang tampuk pemerintahan negeri Sabah. Sampai masa kelak, PRN pasti akan berlangsung juga. Fokus kita sekarang adalah bantu rakyat Sabah,” jelas Redonah.

Menurutnya, sejak Ketua Menteri menerajui kepimpinan Kerajaan Negeri, terbukti berjaya berikutan pelbagai usaha berterusan dalam membawa hala tuju dan perancangan untuk Sabah menjadi realiti..