TAWAU : Polis menahan seorang lelaki warga asing selepas didapati positif dadah jenis syabu di Kampung Mangga, Kalabakan, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, lelaki terbabit berusia 34 tahun itu ditahan dalam rondaan cegah jenayah Rondaan Cegah jam 1.30 petang.
Katanya, suspek dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di sekitar kawasan kampung berkenaan.
“Polis menjalankan pemeriksaan dokumentasi mendapati suspek mengaku mengambil dadah jenis syabu sejak tahun 2017 lagi.
“Suspek kemudiannya ditahan manakala hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek disyaki positif dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jasmin berkata, suspek kemudiannya akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis akan terus memperketatkan operasi dan memantau kawasan-kawasan dikenal pasti sebagai hotspot kegiatan jenayah dan dadah di daerah ini.
“Orang ramai diminta supaya bekerjasama dan terus memberikan maklumat dalam usaha membantu pihak berkuasa mengekang aktiviti jenayah di daerah ini,” jelas Jasmin.
