Sabah Electricity lapor polis kakitangan cedera bertugas pemotongan bekalan elektrik di Lahad Datu

LAHAD DATU : Sabah Electricity membuat laporan polis selepas mendakwa dua kakitangannya cedera ketika menjalankan operasi pemotongan bekalan elektrik di Kampung Sepagaya di sini semalam.

Menerusi kenyataannya semalam, pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap ancaman membabitkan keselamatan anggota kerja syarikat itu ketika menjalankan tugas seharian mereka.

“Dua kakitangan itu menjalankan kerja-kerja pemotongan bekalan elektrik pada jam 11.30 pagi, namun tugas mereka dihalang seorang lelaki menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda.

“Lelaki terbabit dalam keadaan marah sekali gus cuba membuka pintu kenderaan milik Sabah Electricity secara paksa sehingga mengakibatkan kecederaan,” katanya di sini semalam.

Katanya, dalam keadaan panik, kakitangan tersebut menggunakan kenderaan syarikat terus beredar namun kemudiannya dikejar suspek terbabit menyebabkan situasi menjadi tidak terkawal.

“Kenderaan dipandu kakitangan Sabah Electricity hilang kawalan lalu terbabas di bahu jalan sebelum terjunam jatuh ke kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Silam.

“Akibatnya, seorang daripada mereka mengalami kecederaan ringan pada tangan kiri manakala seorang lagi terseliuh kaki kiri,” katanya.