PAPAR : Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi serta pemandu kereta warga emas maut selepas terlibat dalam satu kemalangan di Lebuhraya Pan Borneo, Kampung Purak, di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata, penunggang motosikal berusia 34 tahun serta pemandu kereta berusia 75 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 9.20 pagi tadi kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.
“Bomba bersama 10 anggota diketuai Komander Operasi PBK II Dahlan Jainuddin ketika tiba di lokasi kejadian mendapati kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu sebuah kereta dan sebuah motorsikal berkuasa tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rozlan berkata, selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di kawasan kejadian operasi kemudiannya ditamatkan pada jam 10.32 pagi tadi.
