KOTA KINABALU: Sembilan nelayan warga asing bersama sebuah bot pukat tunda ditahan ketika melakukan aktiviti menangkap ikan kurang dari tiga batu nautika Barat Laut Tanjung Kunit, Pulau Usukan, Kota Belud di sini kelmarin.
Pengarah Maritim Malaysia Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun ditahan selepas didapati melanggar syarat sah lesen kerana menunda di bawah tiga batu nautika.
Katanya, penahanan bot itu hasil pemantauan berterusan serta laporan diterima daripada Pusat Pengawasan Laut Maritim Negeri Sabah (SWASLA).
“Pemeriksaan lanjut mendapati juragan bersama lapan awak-awak warga asing turut melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985.
“Semua suspek terbabit ditahan dan bot berserta ikan campur yang dianggarkan hampir 700 kilogram dirampas,” katanya dalam kenyataan di semalam.
Che Engku Suhaimi berkata, tangkapan bersama rampasan itu kemudiannya diiring ke Jeti Maritim Malaysia, Sepanggar untuk siasatan lanjut melibatkan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1.6 juta.
“SWASLA sering memantau kawasan tumpuan di mana aktiviti ini sering dilakukan bot nelayan ingkar sekali gua mengabaikan peraturan-peraturan yang ditetapkan.
“Bagi mengekang aktiviti ini daripada berleluasa, orang awam terutama komuniti maritim diseru untuk terus menyalurkan sebarang maklumat melalui saluran yang betul untuk tindakan segera,” jelas Che Engku Suhaimi.
