TAWAU : Program Santuni Madani dilihat mampu meningkatkan potensi kampung serta keupayaan masyarakat melalui pemantauan lihat urus pemimpin di kawasan berkenaan.
Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Suwadi Guliling berkata, pihaknya komited merangka strategi ke arah mewujudkan program bersesuaian mengikut keperluan setempat.
Katanya, ia bertujuan memupuk semangat komuniti dalam kalangan penduduk setempat sekali gus merapatkan silaturrahim J-KOM bersama penduduk setempat.
“Santuni Madani merupakan program di bawah seliaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) bagi meningkatkan potensi kampung di negara ini.
“Ia berkeupayaan mendidik masyarakat melalui pemantauan secara langsung serta lihat urus bersama pemimpin tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Santuni Madani di Kampung Sungai Imam Tawau ‘Satu Pemimpin Satu Kampung’ di sini hari ini.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Komuniti Madani Kampung (Kg.) Sungai Imam, Nasha Saharun berkata, warga kampung menyambut baik program Santuni Madani sekali gus mampu mempereratkan kerjasama dalam kalangan pemimpin kerajaan dan rakyat.
“Program anjuran J-Kom ini memberi peluang pada warga kampung untuk berkumpul bersama pemimpin dari pelbagai agensi agar mereka cakna terhadap sebarang keperluan atau isu di suatu kampung.
“Bagi saya baguslah penganjuran J-KOM ini sebab salah satu beri info pada penduduk kampung misalnya ada ceramah seperti tadi tentang penipuan (scammer) dan ini penting untuk komuniti,” kata Nasha.
Menurutnya, melalui program ini juga sesuatu masalah itu dapat dikemukakan sekali gus berharap agar ia mampu diselesaikan oleh pemimpin.
Sementara itu Ketua Komuniti Kg. Sungai Imam, Zainab Oting berkata, program santuni Madani juga mengeratkan silaturrahim dalam kalangan pemimpin dan orang kampung.
“Saya berbangga dan berbesar hati kepada JKOM kerana sejak semalam (Sabtu) bersama kami dalam menganjurkan pelbagai program yang memberi manfaat secara keseluruhannya,” katanya.
Program Santuni Madani Kg. Sungai Imam Tawau berlangsung selama dua hari bermula Sabtu dirasmikan Pemangku Ketua Pengarah J-KOM, Suwadi Guliling.
Antara pengisian program adalah sambutan Maulidurrasul Peringkat Kampung, senam sihat sempena Hari Sukan Negara, ceramah berkaitan penipuan (scammer) dari Polis DiRaja Malaysia, kenduri kampung, pameran agensi, pemeriksaan kesihatan serta pertandingan Badminton dan Futsal.
