KENINGAU : Suspek melarikan diri selama sebulan lalu selepas menetak jirannya sehingga maut di Kampung Linkudau, ditahan di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Keningau, Supt Yampil Anak Garai berkata, suspek merupakan warga Filipina berusia 43 tahun ditahan di kawasan semak berhampiran kilang terbiar di Kampung Kauran, kira-kira jam 9 malam.
Katanya, bertindak atas maklumat awam, pasukan polis ke lokasi untuk mengesan suspek di dalam kawasan perumahan di kampung berkenaan, kira-kira jam 5 petang.
“Polis berusaha mengesan suspek dijalankan di kawasan perumahan Kampung Kauran tetapi dipercayai melarikan diri ke kawasan kilang terbiar.
“Operasi mengesan suspek diteruskan dan kira-kira jam 9 malam, pasukan serbuan berjaya mengesan dan menangkap suspek terbabit yang sedang bersembunyi di dalam kawasan semak kira-kira 20 meter dari kilang terbiar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yampil berkata, tiada sebarang pergelutan yang berlaku dan tiada sebarang kecederaan pada suspek dan pasukan serbuan.
“Soal siasat mendapati suspek mengaku menikam mangsa di bahagian tangan atas alasan berasa marah dengan mangsa yang menolong isteri (mangsa) membuat laporan polis.
“Sebaik sahaja kejadian berlaku, suspek terus melarikan diri ke dalam kawasan hutan di Jalan Tenom dan baharu keluar pada 15 Oktober kerana kelaparan,” jelas Yampil.
Menurutnya, suspek kemudian dibawa ke IPD Keningau dan kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.
“Siasatan masih diteruskan termasuk mengesan pakaian dan senjata yang digunakan oleh suspek ketika kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
