PUTATAN : Golongan belia merupakan penyambung warisan kepimpinan negara sekali gus perlu terlibat secara langsung dalam urusan dan agenda pembangunan negara.
Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffrey Nor berkata, sebagai pemimpin pelapis mereka perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan selain memiliki nilai moral, akhlak serta keperibadian yang unggul.

Katanya, ciri-ciri penting agar mereka bersedia menjadi pelapis kepimpinan negara pada masa hadapan.
“Di peringkat awal golongan belia perlu terlibat secara aktif dalam urusan serta agenda pembangunan negara sama ada melalui NGO atau komuniti setempat.
“Selaras dengan pengiktirafan kepada golongan belia untuk terlibat secara langsung dalam agenda pembangunan negara, kerajaan memutuskan pelaksanaan Undi 18 pada Feb 2022,” katanya.
Jeffrey Nor berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac 2022 pertama kalinya pengundi muda 18 diberikan peluang menjadi pengundi dalam sistem demokrasi negara.

“Sudah tentu pelaksanaan Undi 18 secara langsung meningkatkan peranan dan tanggunjawab gererasi muda untuk mengubah landskap politik negara.
“Golongan belia perlu memanfaatkan peluang diberikan kerajaan untuk memilih pemimpin dan kerajaan menjaga rakyat serta negara demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat pada masa depan,” jelas Jeffrey Nor.