Wanita warga asing bawa senjata tajam dalam kenderaan ditahan

TAWAU : Seorang wanita warga asing ditahan bersama senjata tajam dijumpai di dalam sebuah kenderaan, di sekitar kawasan Bandar Tawau, tengah malam, di sini kelmari .

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, polis kemudian bertindak menahan pemandu seorang wanita warga asing berumur 22 tahun bagi tujuan pemeriksaan.

Katanya, kejadian dilaporkan berlaku jam 12.56 tengah malam polis melihat sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan di kawasan parkir di Jalan Mahkamah Tawau.

“Hasil pemeriksaan dalam kenderaan tersebut, polis menjumpai sebilah pisau bersarung yang disimpan dibawah kerusi bahagian pemandu.

“Polis menjumpai sebatang kayu baseball dan sebatang kayu ulas yang diletakkan di bahagian atas kerusi penumpang belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jasmin berkata, wanita tersebut ditahan kerana gagal memberikan alasan munasabah berkenaan senjata tersebut.

“Senjata tajam, kayu baseball dan sebatang kayu ulas serta kunci bersama kenderaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958,” jelas Jasmin.

Menurutnya, membawa sebarang senjata di dalam kereta tanpa kebenaran serta alasan kukuh adalah salah di sisi undang-undang.