Seorang maut, dua cedera parah kemalangan di Jalan Lahad Datu-Tawau

LAHAD DATU : Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan di kawasan Dewata Jalan Lahad Datu – Tawau, di sini malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Penolong Penguasa Bomba Sumsoa Rashid berkata, mangsa dikenali sebagai Rey Davila, 54 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, dua lagi lelaki cedera parah dipercayai tersepit di kereta jenis Proton Saga BLM dikenali sebagai Reymar Davila serta Rendell Ray Davila masing-masing berumur antara 20 hingga 27 tahun.

“Mangsa meninggal dunia tersebut kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan Bomba membawa seorang mangsa ke Hospital Daerah Lahad Datu menggunakan jentera EMRS Bomba manakala seorang lagi mangsa di bawa melalui jentera ambulance KKM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sumsoa berkata, bomba menerima panggilan kecemasan panggilan pada jam 10.00 malam kemudiannya bergegas ke lokasi bersama sembilan anggota diketuai Komander Operasi Mohammad Suait Mohammad.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya wujud di lokasi kejadian operasi kemudiannya ditamatkan pada jam 11.23 malam tadi,” jelas Sumsoa.