KOTA KINABALU: Pembukaan rangkaian ke-46 European Wellness, pusat penjagaan kesihatan berteknologi tinggi mampu meningkatkan bidang perubatan regeneratif dan sektor pelancongan kesihatan di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, penyelidik dari seluruh dunia dijangka akan berkongsi kepakaran dalam bidang perubatan terkini dan sains di fasiliti tersebut.
Katanya, kedudukan Sabah terletak secara strategik di Asia Tenggara, membentuk teras BIMP-EAGA dan rantau Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).
“Melalui kerjasama serantau ini, kami telah memperjuangkan secara konsisten integrasi ekonomi yang lebih mendalam.
“Oleh itu, saya membayangkan Sabah akan berkembang menjadi pautan serantau untuk banyak prospek pelaburan termasuk pelancongan kesihatan perubatan,” katanya di sini hari ini.
Hajiji berkata, pembukaan pusat itu membuktikan keyakinan para pelabur bahawa Sabah adalah lokasi yang kondusif dan baik untuk pelaburan.
“Ia mewakili satu lagi usaha penting dan lonjakan komitmen kami untuk memakmurkan Sabah seperti yang digariskan dalam hala tuju Pelan Pembangunan Strategik Sabah Maju Jaya.
“Dalam era di mana kesihatan dan kesejahteraan menjadi keutamaan global, Sabah sedang meletakkan dirinya di barisan hadapan revolusi merangkumi komitmen untuk tidak hanya memelihara kehidupan tetapi meningkatkan kualitinya,” jelas Hajiji.
Menurutnya, pelaburan ke Sabah boleh diukur dalam kesan motivasi terhadap perusahaan tempatan lain, penciptaan pekerjaan dan menarik pakar profesional yang akhirnya menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negeri.
“Pusat ini dikendalikan oleh saintis sel stem terkenal dunia, Profesor Datuk Sri Dr Mike Chan dan isterinya, Profesor Datuk Sri Dr Michelle Wong, yang berasal dari Penampang.
“Kami berterima kasih atas pelaburan anda di negeri Sabah dan rakyat kita, visi dan ketabahan anda telah menghadiahkan Sabah dengan kemudahan yang sudah pasti akan mengubah kehidupan,” kata Hajiji.
