Pelajar Politeknik Tawau Sabah diangkat menjadi ‘Duta Keharmonian’ – Mustapha

TAWAU :  Pelajar Politeknik Tawau Sabah (PTS) boleh diangkat menjadi ‘Duta Keharmonian’ untuk menghargai segala kepelbagaian budaya, kaum serta agama di kawasan kampus mereka.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, ini kerana berdasarkan rekod kemasukkan pelajar mempunyai pelbagai latar belakang mampu meningkatkan keharmonian dalam kalangan pelajarnya.

Katanya, latar belakang kehidupan seumpama ini menjadikan Sabah sebagai sebuah negeri yang unik berikutan memiliki kepelbagaian budaya, bahasa, agama dan cara hidupnya.

“Keadaan ini merupakan suatu kelebihan bagi negara kita di mata orang asing yang datang berkunjung ke Malaysia, terutama negeri Sabah.

“Kita sangat menekankan pentingnya perpaduan dan keharmonian di kalangan pelajar, sehubungan dengan itu semua pelajar perlu mengetahui bahawa 31 Ogos diwartakan sebagai Hari Sabah untuk memperingati pemerintahan negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja di Politeknik Tawau Sabah di sini semalam.

Mustapha berkata, demi mengekalkan khazanah yang berharga ini, kedamaian serta keharmonian dalam kehidupan yang berbilang kaum ini perlulah sentiasa dipelihara.

“Sebagai sebuah negara yang memiliki kepelbagaian latar belakang, sikap hormat menghormati dan tolak ansur kita sebagai rakyatnya perlulah berada di tahap yang tinggi.

“Adalah sangat penting bagi kita untuk memahami budaya, bahasa, agama dan cara hidup kaum-kaum yang ada di negeri Sabah ini.

“Melaluinya, jurang perbezaan antara kaum dapat kita dikurangkan. Seterusnya kita juga akan menjadi individu yang lebih bersikap terbuka,” jelas Mustapha.

Menurutnya, sikap hormat menghormati dan juga tolak ansur yang tinggi perlulah dipupuk agar keharmonian dalam negara akan berkekalan dan keamanan yang nikmati sehingga ke hari ini dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

“Keharmonian ini perlu dipelihara, dipupuk serta diterapkan dalam diri setiap pelajar dan generasi seterusnya di masa depan.

“Oleh itu, setiap daripada kita bertanggungjawab dan berperanan dalam menjaga keharmonian, kedaulatan, keamanan dan keselamatan negara kita,” tambah Mustapha.

Sementara itu, Pengarah Politeknik Tawau Sabah, Mohd. Sahran @ Awang Mohidin berkata, sehingga kini Politeknik ini mencapai 100 peratus pengambilan pelajar baharu untuk Sesi 1 2024/2025.

Katanya, ini bagi memenuhi keperluan industri serta tenaga kerja khususnya di kawasan Pantai Timur Sabah.