LOSHPA kumpul 59 pain darah dalam program di Ujana Kewangan

LABUAN : Persatuan Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Labuan (LOSHPA) mengumpul 59 pain darah sempena Program Kempen Darah diadakan di Kompleks Ujana Kewangan Labuan baru-baru ini.

Kempen tersebut yang bertemakan “Darma Darah. Selamatkan Nyawa”mendapat kerjasama Perbadanan Labuan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Jabatan Kesihatan Labuan  dan LJ Resoursces selalu Penaja utama.

Pengerusi LOSHPA, Joanita Joseph berkata, kempen bertujuan membantu serta membekalkan bank Darah kepada Hospital Labuan.

“Ia juga bertujuan memberikan kesedaran serta pendidikan kepada orang ramai tentang kepentingan menderma darah.

“Program ini bukan sahaja membantu menyelamatkan nyawa tetapi juga membawa komuniti bersama-sama mempromosikan kepentingan kesihatan dan keselamatan dalam semua aspek kehidupan” katanya.

Menurutnya, pada masa sama kami LOSHPA mengadakan pendaftaran keahlian sebagai usaha menggalakkan pengamal OSH dan orang ramai menyertai persatuan ini.

“LOSHPA menjemput industri lain sebagai Ahli untuk berkongsi sumber maklumat secara kolektif untuk kebaikan bersama di masa depan,” jelas Joanita.

Program  bermula jam 9.00 pagi sehingga 2.00 petang itu turut diadakan demonstrasi Cardio Pulmonary Resuscitation (CPR) serta Automated External Defbrilation (AED) dikendalikan paramedik berpengalaman dari Hospital Labuan.

Turut hadir Naib Pengerusinya Denis Empalah, Setiausaha Shally Martin dan Bendahari Osman Liasim.