Penyanyi Rosario Binis sertai Gagasan Rakyat Tambunan

TAMBUNAN : Rosario Bianis menjadi artis terbaharu diumumkan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) selepas menyerahkan borang keahliannya di pejabat parti itu, di Tambunan, di sini semalam.

Juara ASEAN Song Contest 2019 itu menyerahkan borang keahlian kepada Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tambunan, Mohd Yassin Yunus yang mewakili Ketua Bahagian parti itu di daerah berkenaan, Datuk Victor P Paut.

Majlis dihadiri Ketua Wanita Gagasan Rakyat Tambunan, Datuk Amelia Anjun.

Rosario berkata, Gagasan Rakyat Tambunan yang diterajui Victor menawarkan ruang dan kedudukan untuknya berkongsi aspirasi dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat khususnya golongan belia.

Juara Bintang RTM 2016 itu menjelaskan, nilai perjuangan dan semangat Victor sebagai pemimpin juga banyak mendorong beliau untuk menyertai parti itu.

“Sebenarnya, saya telah lama mengenali beliau dan pernah dijemput menghadiri majlis keramaian di kediamannya bagi mempersembahkan beberapa buah lagu.

“Kalau saya masih ingat majlis itu berlangsung kira-kira lapan tahun lalu, dan ketika itu beliau belum bergiat diri dalam politik.

“Namun demikian dia telah memperlihatkan nilai kepimpinan dan berjiwa besar sering menghulurkan bantuan kebajikan kepada masyarakat Tambunan tanpa mengira kedudukan dan latar belakang.

“Nilai yang ada dalam diri Datuk Victor itu membuatkan saya tidak fikir panjang untuk menyertai Gagasan Rakyat,” kata Juara Sugandoi 2014 itu.

Rosario, kelahiran Kampung Sunsuron Tambunan itu berkata, keputusannya menyertai Gagasan Rakyat adalah atas kemahuan dirinya sendiri.

Mengulas penyertaan Rosario ke dalam Gagasan Rakyat, Victor berkata, parti itu sentiasa menyokong langkah penggiat seni tanah air menyertai parti itu, dan mereka boleh bertindak sebagai duta parti.

“Penggiat seni tanah air yang menyertai parti ini saya lihat akan menjadi duta kepada parti dalam menarik minat masyarakat di luar sana untuk masuk ke dalam keluarga Gagasan Rakyat,” jelas Rosario.

Sebelum ini, artis ternama negeri Sabah, Datuk Francis Landong telah menyertai Gagasan Rakyat Tambunan.

“Pintu Gagasan Rakyat sentiasa terbuka kepada mana-mana golongan profesional yang ingin sama-sama berjuang membela kebajikan bukan sahaja masyarakat Tambunan malah rakyat Sabah secara keseluruhannya,” katanya.