USIA bantu rancakkan pembangunan pelancongan Semporna

KOTA KINABAlU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) mengorak langkah membantu merancakkan lagi pembangunan pelancongan di Semporna.

Yang Dipertua USIA Datuk Sapawi Ahmad berkata USIA yang bertekad membugar kembali era kecemerlangan suatu ketika dulu mahu membangunkan dan memanfaatkan sepenuhnya aset tanah milik pertubuhan itu, khususnya yang terbiar.

USIA bantu rancakkan pembangunan pelancongan Semporna.

Sapawi berkata USIA telah menandatangani MoU dengan Sinergi Dayang Sdn Bhd untuk bekerjasama membangunkan tanah USIA di Semporna.

Sapawi berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan upacara menandatangani MoU itu di SICC, di sini, semalam.

Pada majlis itu, USIA diwakili Setiausaha Agung USIA Iman Ali, manakala Sinergi Dayang Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutif
Azlan Shah Mohd Yusoh.

Upacara MoU itu turut dihadiri Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Negeri Sabah Datuk Ruslan Muharam yang mewakili Ketua Menteri Sabah.

Mengikut perjanjian MoU itu, Sapawi berkata kesemua pihak telah bersetuju untuk bekerjasama sepenuhnya bagi menjayakan misi memajukan lagi industri pelancongan Semporna selaras dengan slogan Sabah Maju Jaya.

“Kedudukan tanah (di Semporna) pula sangat sangat strategik, dekat dengan akses jalan raya serta kemudahan asas seperti air dan elektrik.

“Persekitaran yang mempunyai pelbagai prasarana selain kewujudan pusat komersial juga diyakini akan dapat menarik minat para pembeli kelak,” katanya.

Difahamkan, Sinergi Dayang Sdn Bhd atau lebih dikenali Citaglobal dipertanggungjawab membangunkan sekitar 108 unit bangunan kedai yang boleh digunakan atau dimanfaatkan untuk tujuan pelancongan, termasuk kemudahan penginapan.

Sapawi berkata projek itu dijangka dimulakan tidak lama lagi dan diharap dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun.

Mengenai pembaikan semula bangunan lama USIA di Sembulan, beliau berkata, ia bakal dilaksanakan dalam masa terdekat dan inisiatif itu turut mendapat sokongan padu kerajaan negeri.

Terdahulu, Sapawi berkata USIA telah mengadakan mesyuarat ahli majlis tertinggi dan seterusnya menyampaikan sumbangan sentuhan kasih bersama Asnaf kepada semua wakil USIA bahagian.