KOTA KINABALU : Jabatan Alam Sekitar Negeri Sabah (JAS) melaksanakan ‘Ops Gempur Raya’ sekali gus menjalankan pemeriksaan terhadap 84 premis membabitkan daerah Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Sipitang, semalam.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Sabah, Abdul Razak Abdul Manap berkata, pihaknya mendapati beberapa kesalahan di bawah perundangan alam sekitar dilakukan pihak industri antaranya tidak mematuhi peraturan efluen perindustrian serta tidak mematuhi peraturan buangan terjadual.
Katanya, terdapat beberapa kesalahan lain iaitu gagal mematuhi syarat-syarat lesen khususnya premis dikategorikan sebagai premis ditetapkan melibatkan penahanan operasi kelengkapan (POK) dan penyediaan kertas siasatan.
“Kesalahan dibawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 adalah kesalahan yang banyak dilakukan oleh industri yang diperiksa.
“Notis Arahan kepada pihak premis yang terbabit dikeluarkan agar mengambil tindakan pembaikan dengan segera oleh pihak industri bagi memastikan ia tidak berulang di masa depan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Abdul Razak berkata, pelaksanaan Ops Gempur Raya disamping tindakan penguatkuasaan yang diambil menunjukan kerajaan serius membenteras sebarang bentuk pencemaran alam sekitar dilakukan mana-mana pihak khususnya sektor industri di negeri ini.
“Pihak industri hendaklah menjalankan operasi premis mereka mengikut kehendak perundangan sekali gus memastikan kepentingan alam sekitar perlu diberikan perhatian secara lebih serius.
“Mana-mana pihak yang didapati melanggar kehendak perundangan alam sekitar akan dipantau dengan lebih ketat oleh JAS,” katanya.
Beliau berkata, pihak terbabit perlu melaksanakan serta membuktikan langkah-langkah pembaikan dilaksanakan dengan kadar segera sebelum tindakan lebih drastik diambil kepada mereka.