KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan seramai 66 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan di beberapa lokasi sekitar daerah ini.
Menurut kenyataan kenyataan rasmiJIM Sabah memaklumkan, operasi dijalankan bermula 21 hingga 26 September 2025, hasil aduan awam serta risikan selama seminggu di beberapa kawasan termasuk Papar, Penampang, Manggatal, Inanam, Sepanggar dan Tuaran.
“Sebanyak 153 individu telah diperiksa, dan daripada jumlah itu, 66 PATI terdiri daripada warga Pakistan, Filipina dan Indonesia ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen,” katanya.
Menurut beliau, antara kesalahan dikesan termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa, serta melanggar syarat pas.
“Kes disiasat mengikutt Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 – tiada dokumen perjalanan atau pas sah.
“Selain itu, Seksyen 15(1)(c) akta sama – tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 – melanggar syarat pas,” jelasnya.
Kesemua PATI yang ditahan telah dibawa ke Depot Imigresen Papar bagi siasatan dan tindakan lanjut.
JIM Sabah turut menegaskan komitmen pihaknya untuk meneruskan operasi seumpama itu dari semasa ke semasa.
“Selain itu tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang melindungi atau menggaji PATI.
“Kerjasama masyarakat amat penting dan digalakkan untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing,” katanya.
