TAWAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah melaksanakan Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) melibatkan seramai 209 warganegara Indonesia melalui Terminal Feri Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.
Pengarahnya, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, pemindahan itu membabitkan 150 lelaki, 35 wanita dewasa, 17 kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan berusia antara satu hingga 60 tahun.
Katanya, mereka dipindahkan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Sandakan menggunakan feri Francis Express serta Purnama Express.
“Kesemua PATI ini dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa atau masuk tanpa pas yang sah. Mereka telah menjalani hukuman penjara dan dihantar pulang setelah lengkap dokumentasi perjalanan. Semua turut disenaraihitamkan daripada memasuki Malaysia semula,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, Sehingga kini, bagi tahun 2025 sahaja, 1,496 tahanan PATI Indonesia sudah dipindahkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan 8,025 warganegara asing dihantar balik ke negara asal.
Beliau menjelaskan, kekerapan penghantaran pulang tertakluk kepada pengeluaran Sijil Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) oleh Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Malaysia.
“JIM Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras PATI. Tiada kompromi kepada mana-mana pihak yang menyalahgunakan pas atau kemudahan imigresen. Majikan serta pemilik premis yang menggaji PATI tanpa dokumen sah juga akan dikenakan tindakan tegas,” tegasnya.
