LABUAN: Seramai 50 peserta yang melibatkan 14 agensi kerajaan dan lapan agensi swasta menyertai Latihan Mengawal Tumpahan Minyak (OSR) dan Bahan Merbahaya Hazardous Noxious Substances (HNS) anjuran Jabatan Laut Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan.
Program yang diadakan di Kompleks Worksyop Jabatan Laut Malaysia dekat Rancha Rancha itu baru-baru ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Laut Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan Ahmad Zawawi Saharuddin.
Antara agensi kerajaan yang terlibat dalam latihan dua hari itu ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Marin dan Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPDS).
Menurut Ahmad Zawawi latihan tersebut bertujuan untuk memahami pelan tindakbalas berperingkat mengikut kaedah Malaysia Oil Spill Cotengency Plan (MOSCoP) serta mengenali cara penggunaan dan pengendalian peralatan melawan dan mengawal tumpahan minyak.
Selain itu, katanya, ia juga bertujuan untuk memahami dan mengadaptasikan prosedur operasi standard melawan dan mengawal tumpahan minyak.
Ahmad Zawawi berkata, pada hari pertama latihan itu terarah kepada sesi perkongsian dan taklimat daripada beberapa agensi, manakala pada hari kedua merupakan sesi latihan praktikal di laut yang bertujuan untuk melihat kemampuan peralatan dan kakitangan agensi yang terlibat dalam mengawal tumpahan minyak.
Dalam pada itu, beliau yakin latihan yang berlangsung selama dua hari itu mampu memberi pendedahan dan pengalaman terhadap kaedah teknikal mengawal tumpahan minyak serta dapat memberikan nilai tambah supaya para reaponder tumpahan minyak oil lebih kompeten dalam melaksanakan tugasan tersebut.