4 inisiatif DBKK atasi masalah pembuangan sampah ke sungai dan laut: Noorliza

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memperkenalkan empat inisiatif dalam usaha menangani masalah pembuangan sampah sarap ke dalam sungai dan laut sekali gus mengakibatkan punca pencemaran di persisr pantai Kota Kinabalu.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Noorliza Awang Alip berkata, antara inisiatif tersebut memasang ‘Boom Trap’ di beberapa sungai utama iaitu membabitkan kawasan Sungai Darau, Sungai Likas dan Sungai Sembulan.

Pantai Kampung Kibagu.

Katanya, pihaknya juga menugaskan seramai 40 anggota setiap hari bagi membersihkan kawasan Pantai Tanjung Aru serta  Pantai Teluk Awam Likas untuk memastikan kawasan terbabit bebas daripada masalah sampah sarap.

“DBKK juga kini menjalin kerjasama dengan Blu Hope Ventures Sdn Bhd dalam usaha menangani masalah pembuangan sisa plastik ke dalam laut dengan membawa masuk teknologi dari Europe dalam melupuskan sisa plastik daripada bahan buangan kepada sumber tenaga yang boleh diperbaharui.

“Selain itu DBKK juga menyediakan sistem pelupusan sampah komuniti di beberapa buah kampung yang berdekatan dengan sungai yang tidak mempunyai sistem pembuangan sampah yang teratur,” katanya.

Pantai Kampung Kibagu

Beliau berkata demikian kepada SabahNewsToday selepas di minta mengulas berkaitan masalah sampah sarap di Pantai Kampung Kibagu Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Semalam Portal Online SabahNewsToday menyiarkan runggutan penduduk kampung berkaitan taburan sampah sarap memenuhi sepanjang ‘Pantai Kampung Kibagu’.

Masalah tersebut sedikit sebanyak mencacatkan pemandangan indah kampung berkenaan termasuk mencacatkan pemandangan mereka yang menyaksikan fenomena Matahari Terbenam di kawasan berkenaan. SabahNewsToday difahamkan oleh penduduk Kampung Kibagu masalah tersebut sudah berlarutan sejak sekian lamanya.

Noorliza berkata, DBKK sedang melipatgandakan usaha untuk mendidik penduduk yang tinggal berhampiran dengan laut dan sungai agar timbul kesedaran mereka terhadap aspek menjaga kebersihan ini.

Selain itu memberi kefahaman kepada mereka bahawa sungai dan laut merupakan sumber pendapatan penting kepada nelayan pesisir pantai sekali gus mengelak daripada masalah ekosistem hidupan laut di masa depan.

“Kita ingatkan agar penduduk di daerah Kota Kinabalu agar tidak membuang sampah terus ke dalam sungai ataupun laut bagi menyokong usaha pengindahan pantai dan sungai dalam kawasan bandaraya,” katanya.

Noorliza juga menggesa agar penduduk bandaraya terutama tinggal kawasan berhampiran sungai serta laut agar menyalurkan maklumat berkaitan masalah ini supaya tindakan dapat diambil dalam tempoh segera.

SabahNewsToday