KUALA LUMPUR: Tiga negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam tempoh terdekat.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden hari ini
Tegasnya, fokus pentadbiran ketiga-tiga negeri itu kini adalah untuk menangani isu banjir yang akan memberi kesan kepada rakyat.
“Keputusan mesyuarat Majlis Presiden hari ini, ketiga-tiga negeri yang dipimpin PH akan menumpukan perhatian menangani permasalahan banjir dan meringankan beban mangsa yang terpaksa menghadapi bencana banjir.
“Mereka tidak akan mengadakan pilihan raya sehingga selesai isu banjir. Mereka ada ruang menetapkan pembubaran DUN selepas itu (banjir). Mereka takkan bersama kerajaan persekutuan, seandainya PRU diadakan semasa banjir,” katanya selepas mesyuarat Majlis Presiden di Parlimen.