3 ADUN UMNO dipecat, Gagasan Rakyat sedia mereka – Hajiji

KOTA KINABALU: Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Hajiji Noor bersikap terbuka menerima tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang dipecat kelmarin.

Beliau tidak boleh mengulas lanjut mengenai isu pemecatan itu kerana ia membabitkan urusan parti UMNO.

“Saya tidak boleh komen lanjut kerana ia membabitkan urusan parti UMNO, namun jika mereka ingin mohon untuk masuk Gagasan Rakyat, insya-Allah kita akan terima.

“Kalau mereka mahu masuk mana-mana parti, di Sabah ini banyak parti politik, jadi terpulang kepada mereka untuk memilih,” katanya di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, tiga ADUN UMNO yang menyokong pimpinan Hajiji semasa berlaku kemelut politik di Sabah pada awal Januari lalu, dipecat berkuat kuasa kelmarin.

Tiga ADUN itu ialah Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Mohd. Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit).

Pada 21 Februari lalu, empat ADUN termasuk James, Mohd Arsad dan Jasnih mengumumkan keluar daripada parti dan menyertai Gagasan Rakyat.

Seorang lagi ADUN berbuat demikian ialah ADUN Balung, Datuk Hamid Awang turut mengambil keputusan sama iaitu keluar daripada UMNO.