278 PATI dihantar pulang ke negara asal

SANDAKAN : Seramai 278 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah dihantar pulang ke negara asal hari ini menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI Siri 3 bagi tahun 2024.

Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata pemindahan melalui jalan laut itu melibatkan seramai 159 tahanan lelaki, 79 tahanan perempuan, 36 tahanan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan empat tahanan kanak-kanak berumur 23 bulan ke bawah.

278 PATI dihantar pulang ke negara asal

Katanya, jumlah pecahan mengikut jantina bagi kanak-kanak dalam pemindahan kali ini adalah seramai 40 orang dan melibatkan tahanan purata umur dari 9 bulan sehingga tahanan dewasa berumur 70 tahun.

Menurut beliau, kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu atau bapa dan penjaga masing-masing melalui laut dengan menggunakan pengangkutan Vessel MV Antonia 1.

“Tahanan PATI yang terlibat pada kali ini adalah tahanan warganegara Filipina iaitu seramai 121 orang dari Depot Imigresen Sandakan dan 157 orang lagi dari Depot Imigresen Papar,” katanya di Sandakan.

Menurut beliau, setakat ini seramai 1,773 tahanan warganegara Filipina telah dipindahkan dalam tahun 2024 ke negara asal melibatkan pengangkutan laut dan udara.

Jelasnya, kesemua PATI yang ditahan di Depot Imigresen telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1693.

“Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.

“Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI setelah mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta telah mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing,” jelasnya.