KOTA KINABALU : Seramai 220 orang warganegara Indonesia terlibat dalam Operasi Pemindahan Tahanan Asing Ke Negara Asal, di sini semalam.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua mereka merupakan tahanan daripada Depot Imigresen Kota Kinabalu, Depot Imigresen Papar dan Depot Imigresen Sandakan.
Katanya, Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI, dikenal pasti berumur antara lingkungan 8 bulan dan sehingga 67 tahun.
“Kesemua tahanan PATI dipindahkan ke destinasi asal iaitu Pulau Nunukan, Indonesia menggunakan feri Labuan Express dan Francis Express.
“Kanak-kanak yang mengikuti program pemindahan ini turut diiringi oleh ibu bapa atau penjaga yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sitti Saleha berkata, jumlah PATI warganegara Indonesia dipindahkan ke negara asal adalah seramai 612 orang.
“Ini sekali gus menyumbang kepada jumlah keseluruhan tahanan PATI yang berjaya dipindahkan ke negara asal iaitu seramai 2,699 orang sehingga ke hari ini.
“Kesemua PATI selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan serta mempunyai Sijil Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) yang sah,” jelas Sitti Saleha.
Menurutnya, SPLP ini dikeluarkan pihak Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) untuk melayakkan diri mengikuti proses pemindahan asing ke negara asal.
“Jabatan Imigresen Negeri Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang telah diberikan.
“Tindakan pendakwaan akan dikenakan kepada majikan serta pemilik premis yang menggaji warganegara asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah,” kata Sitti Saleha.
Beliau berkata, jika didapati ada individu yang melakukan pelanggaran ke atas syarat pas atau permit tindakan seperti yang termaktub di bawah Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kita menasihatkan majikan serta masyarakat supaya mengambil warganegara asing untuk bekerja di negara ini mengikut saluran yang berlandaskan undang-undang.
“Jabatan ini akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam membanteras Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negara ini,” tambahnya.