2 maut, 1 cedera dalam lori muatan telur terbalik di Keningau

KENINGAU: Dua lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas sebuah lori membawa muatan telur terbabas dan terbalik di Kampung Bariawa Ulu, Keningau, pagi tadi.

Menurut maklumat Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 9.08 pagi sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dikerahkan ke lokasi. Pasukan tiba tujuh minit kemudian.

Komander Operasi, PBK I Ranizan Samirin, berkata seorang mangsa mengalami kecederaan ringan dan berjaya keluar sendiri dari kenderaan. Namun dua lagi mangsa ditemukan tersepit di bahagian papan pemuka dan struktur lori.

“Pasukan menggunakan peralatan khas penyelamat jalan raya (RTA) termasuk telescopic ram secara manual untuk mengeluarkan mangsa. Kedua-duanya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM di lokasi,” katanya.

Mangsa yang cedera kemudian dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk rawatan lanjut, manakala dua mayat diserahkan kepada polis bagi tindakan selanjutnya.

JBPM memaklumkan operasi ditamatkan pada jam 1.59 tengah hari selepas pemeriksaan mendapati tiada lagi risiko di kawasan kejadian.

Mangsa terdiri daripada pemandu lori, lelaki berusia 58 tahun, serta seorang lagi lelaki yang turut maut, manakala seorang penumpang lain cedera.