181 Geran NT diserah kepada penduduk Telupid – Hajiji

TELUPID: Sebanyak 181 Geran Tanah Adat Negeri (NT) diserahkan kepada penduduk tempatan dengan melibatkan keluasan tanah 1,294.296 ekar bagi kepentingan rakyat di daerah ini.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata jumlah kelulusan itu adalah melibatkan warta simpanan kampung iaitu bagi Tapak Kediaman Anak Negeri Kampung Telupid Batu 4, seluas 201.336 ekar.

Hajiji menandatangani plak perasmian bangunan baharu Majlis Daerah Telupid. Gambar JKM.

Katanya, kerajaan komited memberi tumpuan kepada pengeluaran geran tanah berikutan sudah menjangkau soal kehidupan anak tempatan tanpa mengira suku bangsa, anutan sekali gus fahaman politik.

“Kerajaan GRS-BN meneruskan Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) bagi menyelesaikan kerja-kerja pengukuran tanah adat negeri (NCR) di Sabah.

“Program PANTAS dilaksanakan sejak tahun 2011, kini diteruskan kerana menyedari kepentingan pengeluaran geran tanah kepada rakyat negeri ini, khususnya anak negeri di luar bandar, termasuk di daerah Telupid.

“Pendekatan meneruskan Program PANTAS ini penting bagi memastikan pengeluaran geran berstatus anak negeri (NT) untuk tanah NCR sudah lama diduduki agar dipercepatkan bagi mengatasi kelewatan dalam proses permohonan biasa sebelum ini”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Geran Tanah Daerah Telupid, Pelancaran Buku Kajian Pelan Pembangunan Daerah Telupid (Aspirasi Daerah Telupid (2022-2030) dan merasmikan bangunan baharu Majlis Daerah Telupid, di sini hari ini.

Hajiji berkata, Pada tahun lalu kerajaan mengukur tanah membabitkan keluasan 15,511.52 hektar, mewartakan sebanyak 80 kawasan sebagai Tanah Simpanan Perkampungan Khas kepada anak negeri.

Menyentuh Buku Kajian Pelan Pembangunan Daerah Telupid (Aspirasi Daerah Telupid 2022- 2030), Hajiji yakin pelan pembangunan ini akan membantu memacu kemajuan dan pembangunan daerah Telupid.

“Saya tahu, Telupid antara daerah yang masih memerlukan banyak pembangunan dan saya berharap pelan ini akan mendapat sokongan semua pihak yang berkaitan agar ia dapat dijayakan demi manfaat rakyat,” katanya.