15 pimpinan Armada Sabah umum keluar Bersatu

KOTA KINABALU: Seramai 15 pimpinan Armada Bersatu Sabah mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan dalam sayap pemuda parti itu serta keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Armada Bersatu Sabah, Hisyam Hazaril berkata keputusan tersebut turut melibatkan pembubaran jawatankuasa Armada Negeri Sabah.

Menurutnya, langkah itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan dalaman parti yang menurutnya semakin meruncing sejak kebelakangan ini.

“Kami amat kecewa melihat konflik dalaman parti yang semakin berlarutan dengan serangan terbuka pimpinan serta pertikaian yang berlaku secara terbuka sehingga mencalarkan imej parti,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, pendekatan pecat-memecat serta tindakan disiplin yang didakwa tidak konsisten turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pimpinan Armada di Sabah.

“Kami berpendirian bahawa anak muda menolak politik perpecahan, serangan terbuka dan budaya pecat-memecat yang semakin menjadi norma dalam parti,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli Armada di Sabah yang memberikan sokongan sepanjang tempoh memegang amanah dalam parti itu.