LAHAD DATU : Polis menahan 13 pelajar sebuah kolej Lahad Datu bagi membantu siasatan kes kematian membabitkan seorang pelajar dipercayai berlaku akibat salah faham antara mereka di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, kesemua pelajar yang ditahan itu dioercayai berumur antara 16 sehingga 19 tahun merupakan pelajar di kolej berkenaan.
Katanya, mangsa dikenali sebagai Mohamad Nazmie Muhd Nazrul Azwan, 17, ditemui terbaring tidak sedarkan diri di lantai bilik asrama kolej berkenaan dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi.
“Pemeriksaan awal dilakukan terhadap mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan serta lebam di beberapa bahagian tubuh badan mangsa.
“Pihak polis tidak menolak kemungkinan punca kejadian disebabkan berlaku perselisihan faham antara mangsa dengan beberapa penghuni asrama yang lain,” katanya menerusi satu kenyataan.
Rohan berkata, mayat mangsa telah di hantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu bagi proses bedah siasat untuk mengenalpasti punca sebenar kematian mangsa.
“Polis menerima laporan berkaitan kejadian itu pada jam 6.50 pagi daripada Pengarah Kolej tersebut sekali gus turut merampas alat pengecas telefon pintar yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian,” jelas Rohan.