10,500 bantuan Covid-19 diagihkan

Yakub menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima. Gambar daripada laman FB rasmi DBKK

KOTA KINABALU : Sejumlah 10,500 bantuan bakul makanan akan diagihkan sepanjang Februari ini kepada golongan terjejas pandemik Covid-19 sekitar Kota Kinabalu.

Mayor Dewan Bandar Kota Kinabalu (DBKK), Noorliza Awang Alip berkata, bantuan disampaikan merangkumi tiga kategori penerima iaitu kategori e-kasih, golongan B40 serta penduduk yang menjalani kuarantin kendiri di rumah.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,700 bakul makanan telah diagihkan dengan bantuan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Angkatan Pertahanan Awam.

Noorliza Awang Alip bersama Yakub dalam Majlis Penyerahan Bantuan Prihatin.

“Bergantung kepada keperluan, DBKK juga sedia bekerjasama bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menjayakan proses tersebut,” katanya dalam Majlis Penyerahan Bantuan Prihatin RM300 dan Bantuan Bakul Makanan Covid-19 Kerajaan Negeri Sabah Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu di Dewan Masyarakat Manggatal, pada Khamis.

Pada majlis berkenaan, penyerahan bantuan bakul makanan kategori e-kasih dan golongan B40 diberikan kepada wakil bagi lapan kawasan iaitu Karambunai, Darau, Inanam, Likas, Api-Api, Luyang, Tanjung Aru dan Kepayan.

Manakala Bantuan Prihatin RM300 pembayaran secara sekali kategori penjaja diberikan kepada wakil dari Pasar Telipok, Pasar Besar Kota Kinabalu, Pasar Manggatal, Pasar Tanjung Aru, Gerai Damai, Gerai Bukit Padang, Gerai Kapayan Yu Sang dan Gerai Anjung Perdana.

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan selaku wakil kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

SabahNewsToday

Leave a Reply