TAWAU : Hampir 1,000 penduduk di Kampung Sungai Udin mengesa agar pihak berkuasa membantu menyelesaikan ancaman isu gajah liar sehingga merosakan hasil tanaman mereka.
Seorang penduduk, Hamidi Lakolu berkata, sejak kebelakangan ini isu gajah liar sering kali menghantui mereka sekali gus kemunculannya tanpa mengira masa.
Katanya, lebih memburukkan keadaan sejak tahun lalu isu gajah liar ini dilihat semakin meningkat sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan mereka.
“Pihak penduduk kampung sudah beberapa kali mengemukakan aduan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL), namun mereka gagal mengambil tindakan drastik.
“Sebagai contoh baru beberapa jam tadi, sekumpulan gajah lain muncul di kawasan perkarangan Kampung Sungai Udin sekali gus dilihat sekali lagi memakan hasil tanaman mereka,” katanya kepada Sabah News Today, di sini hari ini.
Hamidi berkata, penduduk kampung sudah tidak tahan berkaitan ancaman gajah liar ini menyebabkan mereka tidak boleh menjalankan aktiviti pertanian.
“Sampai bila kami mahu bertahan, sedangkan pertanian merupakan hasil pendapatan utama penduduk kampung Sungai Udin.
“Kita melahirkan kerisauan sekiranya gajah ini mungkin boleh mengancam nyawa penduduk kampung ini,” jelas Hamidi.
Menurutnya, ini kerana beliau mendakwa beberapa kejadian wujud anak gajah terbabit masuk ke rumah penduduk kampung.
“Pada 30 September 2019, Khamis ada kejadian sekumpulan pemancing menemui bangkai gajah pygmy di Sungai Udin, Dumpas di Kalabakan, Tawau, dan dipercayai mati antara tiga hingga empat hari.
“Pada 23 September 2022 ada juga kejadian mengakibatkan seorang wanita warga emas maut dipercayai akibat dipijak seekor gajah liar yang mengamuk berhampiran kawasan Dumpas, Jalan Merotai – Kalabakan, Tawau,” kata Hamidi.
Beliau menambah, kedua-dua kejadian ini memberikan satu pengalaman kepada penduduk kampung agar ia tidak berulang pada masa depan.
“JHL atau pihak berkuasa lain….Tolonglah bantu kami. Jangan biarkan penduduk kampung seolah-olah berada dalam keadaan ketakutan,” tambahnya.
