PENAMPANG : Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bakal membangunkan studio TEKUN TikTok Shop yang pertama di Malaysia terletak di Penampang, Sabah.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata studio itu ditempatkan di Pejabat TEKUN Cawangan Penampang itu kini dalam proses pengubahsuaian dan akan dirasmikan pada 16 Feb.

“Ini inisiatif kerajaan melalui kementerian dengan kerjasama TikTok Malaysia untuk membawa Sabah kepada satu cara perniagaan baharu.
“Walaupun ini bukan baharu bagi sebahagian usahawan kerana sebelum ini mungkin mereka sudah biasa menjual produk dan perkhidmatan secara dalam
talian menggunakan media sosial masing- masing tetapi kita mahu mempermudah dengan menyediakan studio,” katanya di sini hari ini.
Ewon berkata pewujudan studio itu adalah projek rintis sebelum mengembangkan ke seluruh negara.
“Saya berharap penyediaan studio yang lengkap dan dengan sokongan platform besar seperti TikTok Malaysia, ia akan menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada keperluan usahawan kita, khususnya di Sabah.
“Kita bermula dulu dengan satu studio di Sabah dan selepas itu kita akan teliti dan buat penilaian projek ini sebelum memperluas ke setiap negeri di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata selain Penampang, satu lagi studio akan dibina dalam masa terdekat iaitu di Ibu Pejabat TEKUN Kuala Lumpur.
