Zahid Hamidi perlu menarik balik segera pelantikan JPKKP di Sabah – Zulkarnain

KOTA KINABALU : Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disarankan menarik balik perlantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) di seluruh Sabah.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, ini kerana JKKP dilihat sangat jelas melanggar peruntukan undang-undang sedia ada di negeri ini.

Katanya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sebelum ini sudah pun meluluskan pindaan kepada Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Sabah.

“Pindaan itu kini memberi kuasa dan autonomi kepada Kerajaan Sabah untuk melantik serta mengurus pentadbiran jawatankuasa kampung seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Sabah.

“Ini bermakna penubuhan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) di Sabah di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) adalah jelas bertentangan dengan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkarnain berkata, Pakatan Harapan (PH) Sabah termasuk wakil rakyat GRS sebelum ini bersama-sama turut membantah penubuhannya sebaliknya Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkeras malahan menyerahkan surat perlantikan kepada wakil JPKKP  di setiap daerah di Sabah.

“Tindakan ini jelas akan mengundang ketidakstabilan politik di peringkat akar umbi malahan dikhuatiri boleh menyebabkan pergaduhan kerana sudah pasti akan berlaku pertindihan kerja di peringkat kampung.

“Untuk merealisasikan harapan kestabilan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan Zahid Hamidi disarankan menasihati Bung dan seluruh kepimpinan UMNO yang menyokong kepimpinan Bung untuk menghentikan melakukan provokasi terhadap kepimpinan Hajiji,” jelas Zulkarnain.

Menurutnya, ini demi kestabilan politik di Sabah memandangkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan PH juga adalah sebahagian dari Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.