Warga emas rentung dalam kejadian kereta terbakar

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga emas ditemukan rentung dalam sebuah kenderaan terbakar di kawasan Taman Iramanis, Kolombong, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Assisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pasukan pihak polis menerima maklumat mengenai kenderaan terbakar di kawasan padang taman permainan pada jam 9.10 pagi tadi.

Katanya, pihak polis bersama sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.

“Ketika berada di lokasi, kebakaran itu berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan Bomba. Pada masa sama mereka menjalankan pemeriksaan menemukan seorang lelaki dipercayai rentung di dalam kenderaan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohd Zaidi berkata, siasatan awal oleh pasukan forensik bomba mendapati punca kebakaran adalah daripada tempat duduk sebelah pemandu.

“Mayat mangsa dipercayai rentung di temui di tempat duduk pemandu, manakala kenderaannya terbakar hampir 95 peratus,” katanya.

Siasatan awal mendapati mangsa berumur 63 tahun kemudiannya di hantar ke Hospital Queen Elizabeth Satu (QEH) untuk proses bedah siasat.