Warga asing dipenjara 6 bulan sebar berita palsu kes pencerobohan di Sabah

LAHAD DATU: Seorang lelaki warga asing dihukum penjara selama enam bulan selepas didapati bersalah menyebarkan maklumat palsu sehingga menyebabkan situasi panik dalam kalangan orang awam.

Suspek, 42, didakwa selepas memberi maklumat palsu berhubung penyusupan masuk sekumpulan lelaki warga asing berpakaian celoreng dan bersenjata api masuk ke Sabah melalui Long Patau, Tambisan, di sini.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan di hadapan Yang Arif Ryan Sagiran Rayner di Mahkamah Majistret Lahad Datu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lahad Datu, Lim Sze Chuen, manakala suspek tidak diwakili peguam.

Suspek juga akan dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan selanjutnya selepas menjalani hukuman penjara.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah dalam kenyataan medianya, mengesahkan penangkapan dan dakwaan keatas lelaki terbabit.

Katanya, orang ramai boleh memberikan maklumat kepada mana-mana agensi penguatkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan penuh tanggungjawab keatas maklumat yang disalurkan.

“Maklumat dengan maksud serong seumpama ini, boleh menimbulkan kegusaran awam termasuk pihak berkuasa,” katanya.

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan bahawa lelaki berkenaan mendakwa melihat 10 individu mencurigakan berpakaian celoreng dan bersenjata masuk ke Sabah melalui perairan Long Patau, Tambisan, di sini.

Lelaki berkenaan juga mendakwa kesemua individu itu dipercayai warga Filipina berdasarkan perbualan menggunakan bahasa Suluk.