Wanita Maut 4 parah, Kereta Bertembung Toyota Hilux

LAHAD DATU: Seorang wanita maut manakala empat parah termasuk kanak-kanak selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di Jalan Sabahan Lahad Datu – Tawau, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, mangsa berusia lingkungan 50,-an yang tersepit dalam kereta jenis Proton Saga disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu jam 3.35 petang, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke tempat kejadian.

Katanya, kemalangan membabitkan Proton Saga dipercayai bertembung dengan sebuah pikup jenis Toyota Hilux.

“Lima mangsa dilaporkan terbabit daripada Proton Saga iaitu seorang kanak-kanak dibawa ke hospital menggunakan kenderaan Klinik Kesihatan Lahad Datu sebelum pasukan bomba tiba.

“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan empat mangsa yang tersepit dengan tiga daripadanya dalam keadaan parah manakala seorang disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian

“Mangsa yang parah diberi rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan seterusnya dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS dan ambulans bagi mendapatkan rawatan,” katanya  dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut Dan operasi ditamatkan pada 5.15 petang.