TAWAU : Seorang wanita tempatan ditahan manakala telefon bimbit miliknya dirampas selepas didapati berkelakuan tidak senonoh di bahagian belakang motovan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 22 tahun itu ditahan selepas menerima satu laporan polis dibuat Pegawai Kanan Polis Tawau, semalam.
Katanya, penahanan suspek berhubung satu rakaman klip video yang tular di akaun aplikasi TikTok berdurasi 17 saat itu kira-kira jam 4.44 petang semalam.
“Klip video tersebut kelihatan memaparkan seorang wanita sedang menari dengan aksi tidak senonoh di bahagian belakang sebuah motovan PDRM.
“Video tersebut disyaki dirakam semasa kenderaan berhenti di parkir kenderaan berhadapan dengan sebuah kedai di sekitar Bandar Tawau,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Jasmin berkata, pemandu kenderaan motovan PDRM sedang berehat sambil menikmati makanan untuk menyertai kejohanan bola tampar di daerah Semporna.
“Polis bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai serta anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan suspek di sekitar perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 15 Ordinan Kesalahan Kecil Undang-Undang Negeri Sabah,” jelas Jasmin.
