KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengesahkan bekalan air di kampus induknya pulih sepenuhnya sekali gus mampu menampung keperluan sesi kemasukan 2024/2025 pelajar mendaftar awal Oktober depan.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, ini adalah berdasarkan rekod bacaan air harian dilakukan oleh pihak Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) UMS mendapati bekalan air terawat daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) stabil serta mencukupi ketika ini.
Katanya, trend bekalan air JANS diperoleh UMS dari bulan Januari tahun ini semakin meningkat berbanding sebelumnya, dan terkini pada tahap stabil, konsisten dan mencukupi iaitu pada purata 5 juta liter sehari (MLD).
“Projek pembinaan telaga tiub (tubewell) menerusi dana peruntukan disalurkan seperti diumumkan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Pendidikan Tinggi juga telah siap sepenuhnya dan berfungsi dengan baik.
“Bekalan air telaga tiub ini merupakan bekalan air alternatif bagi mengurangkan impak kepada pelajar sekiranya terdapat gangguan bekalan air JANS akibat kerja-kerja penyelenggaraan terancang, berjadual atau berlaku insiden yang tidak dapat dielakkan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kasim berkata, berdasarkan perkembangan bekalan air daripada JANS stabil serta konsisten bekalan air alternatif telaga tiub siap sekali gus UMS tidak ada lagi sebarang isu bekalan air.
“Untuk rekod, populasi terkini di dalam kampus induk UMS yang mempunyai keluasan sekitar 999 ekar kawasan dibangunkan sekitar 70% adalah mencecah 20,000 orang sehari.
“Ini berdasarkan populasi tersebut, keperluan air dalam kampus induk UMS adalah sekitar 3MLD ke 5MLD sehari,” jelas Kasim.
Menurutnya, beliau merakamkan ucapan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah serta Persekutuan responsif terhadap sebarang keperluan pelajar di UMS.
