Tiga beranak dibebaskan atas pertuduhan lombong emas

KOTA KINABALU : Mahkamah Khas Rasuah telah melepas tanpa membebaskan Kes tiga beranak berdepan pertuduhan berhubung lombong emas di Bukit Mantiri Tawau.

Tertuduh Datuk Lo Fui Ming, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Wullersdorf Resources Sdn Bhd; anak lelakinya, Lo Teck Yong, bekas pengarah syarikat yang sama; dan anak perempuannya, Lo Choon Fung, Pengarah Southsea Gold Sdn Bhd.

Hakim Jason Juga memerintahkan ketiga-tiga tertuduh dibebaskan atas tuduhan masing-masing.

Dalam perkembangan sama, Fui Ming, 69, berdepan 24 pertuduhan di bawah Seksyen 418 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan mengetahui bahawa kerugian yang tidak wajar mungkin akan ditanggung oleh pihak berkepentingan.

Anaknya, Teck Yong, 43, didakwa dengan 24 pertuduhan di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dalam kesalahan tersebut.

Mereka didakwa menipu Kerajaan Negeri Sabah, khususnya Jabatan Tanah dan Ukur, dengan tidak memasukkan jumlah jongkong emas sebenar dalam invois dan laporan penghasilan.

Jongkong emas tersebut dikatakan dijual secara haram kepada sebuah syarikat lain, menyebabkan kerugian lebih RM1.3 juta kepada kerajaan negeri.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Fui Ming dan Choon Fung berdepan empat pertuduhan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-duanya dengan niat bersama telah menggunakan empat surat palsu atas nama Southsea Gold Sdn Bhd bertajuk “Unauthorised Occupation Of Southsea Gold Lease Land For Mining Operations” bertarikh 3 Mac 2020, 10 Disember 2020, 13 Oktober 2021, dan 3 Januari 2022.