KOTA KINABALU: Bekalan tenaga elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan hari ini (Selasa) diramalkan masih pada tahap berwaspada, namun dijangka tidak berlaku catuan.
Pengurus Besar Operator Sistem Grid Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Ir. Adrian Mosigil berkata, sebanyak 1,149 megawatt (MW) keseluruhan bekalan tenaga dianggarkan beroperasi sepanjang hari.
“Ia termasuk penjanaan tenaga solar yang dibekalkan syarikat Pengeluar Tenaga Bebas (IPP), Tadau Energy Sdn Bhd sebanyak 33.9MW daripada keupayaan penjanaan maksima 50MW, bergantung kepada cuaca dan tenaga suria.
“Manakala, jangkaan waktu puncak hari ini adalah pukul 2.30 petang dengan permintaan tenaga maksima diramalkan boleh mencecah sehingga 1,038MW,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini
Katanya, SESB masih mempunyai rizab margin sebanyak 111MW sebagai stok bekalan tenaga sekiranya berlaku kecemasan atau lebihan permintaan pada waktu tersebut.
“Justeru, pelaksanaan catuan bekalan elektrik pada hari ini diramalkan tidak akan berlaku.
“Sebagai makluman, waktu puncak semalam adalah pukul 4.00 petang dengan permintaan tenaga maksima sebanyak 1,040MW.
“Walau bagaimanapun tidak ada catuan bekalan seperti yang diramalkan,” jelas Adrian.
Untuk rekod, Pengendali Sistem Grid atau Grid System Operator (GSO) merupakan sebuah jabatan dalam SESB yang bertanggungjawab untuk mengendalikan sistem grid dengan cara yang selamat, terjamin, sentiasa stabil, dan ekonomi.
Jabatan ini akan memberikan ramalan bekalan tenaga dan catuan elektrik pada setiap Isnin hingga Jumaat untuk rujukan pengguna dan pemegang taruh SESB.