KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah menetapkan tempoh dua tahun kepada pelabur untuk memulakan projek pembangunan di negeri ini selepas perjanjian dilaksanakan, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu di suni semalam.
Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata kerajaan negeri juga telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri supaya memastikan setiap permohonan yang diterima daripada pelabur untuk melaksanakan projek pembangunan di negeri itu dipercepatkan kelulusan untuk pelaksanaannya.
“Kita memutuskan dalam (mesyuarat) jemaah menteri, kita bagi tempoh masa iaitu selepas perjanjian dilaksanakan, mereka (pelabur) hanya ada masa dua tahun. Dalam masa dua tahun itu mereka mesti mula melaksanakan projek,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (BN-Usukan) yang ingin tahu proses kelulusan semua cadangan atau kaedah untuk menentukan tempoh masa bagi pelabur yang ingin melabur di Sabah.
Hajiji berkata kaedah baharu itu akan mempastikan kelulusan pelan pembangunan termasuk kelulusan yang berkaitan akan dipercepatkan selain dipermudahkan bagi mengelak kelewatan projek yang telah dirancang.
Menjawab soalan asal Salleh yang bertanya langkah kerajaan negeri menghadapi kelembapan ekonomi, Hajiji berkata pelbagai usaha juga sedang dilakukan oleh Kerajaan Negeri untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti produk perindustrian negeri ini.
“Kerajaan negeri juga meneruskan dasar mesra perniagaan dan mewujudkan persekitaran kondusif untuk menarik lebih banyak penglibatan dan pelaburan sektor swasta dalam industri hiliran bernilai tinggi khususnya di taman-taman perindustrian sedia ada di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri juga memberi tumpuan kepada usaha bagi memperkasa peranan dan sumbangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), selain dalam sektor pelancongan pelaksanaan inisiatif dalam Pelan Pemulihan Pelancongan Sabah akan diperhebat.
Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senalang) yang ingin tahu pelaksanaan inisiatif selain perjanjian yang dimeterai kerajaan negeri dengan syarikat berkaitan, Hajiji berkata beberapa syarikat juga turut berminat untuk melabur di Taman Perindustrian Minyak Dan Gas Sipitang (SOGIP).
Beliau berkata ini termasuk Petronas yang mencadangkan untuk membina fasiliti luar pesisir bagi loji gas asli cecair, bagaimanapun setakat ini semua perkara tersebut masih di peringkat cadangan.
— BERNAMA