KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memandang serius teguran yang dibuat oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Tiong King Sing berhubung kebersihan, kesihatan dan keselamatan di Semporna berikutan aduan diterima daripada pelancong.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, aspek kebersihan awam, kesihatan dan keselamatan di bandar berkenaan adalah dibawah kuasa Majlis Daerah Semporna.
Katanya Taman Marin Tun Sakaran dan Taman Pulau Sipadan adalah dalam bidang kuasa Taman-Taman Sabah (agensi bernaung dibawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS)) akan sentiasa berada dalam keadaan bersih.
“Kita sedang mengambil langkah diperlukan mengenai hal ini, saya juga telah melaporkan perkara ini kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang kemudian mengarahkan pihak berkuasa berkaitan untuk mengambil tindakan segera.
“Pada Jumaat lalu, Majlis Daerah Semporna telah mengeluarkan laporan sebagai maklum balas terhadap isu yang dibangkitkan oleh Menteri di peringkat Persekutuan baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Tiong sebelum ini menyatakan pelancong membuat aduan mengenai keadaan persekitaran yang kotor dengan sampah sarap di merata tempat, kes keracunan makanan, serangan serangga liar dan perkhidmatan pelanggan yang teruk.
Tiong telah meminta MOTAC Sabah, KePKAS dan pihak berkuasa berkaitan untuk menyerahkan cadangan dan pelan tindakan bagi menyelesaikan aduan terbabit dalam tempoh tiga hari.
Christina berkata laporan itu menjelaskan mengenai situasi sebenar dan perlu diberikan perhatian sewajarnya supaya masalah yang diketengahkan oleh Menteri Persekutuan itu tidak menjejaskan aktiviti pelancongan di Semporna secara keseluruhannya.
Katanya Majlis Daerah Semporna menjelaskan isu yang dibangkitkan tidak mencerminkan keadaan sebenar kerana kes keracunan makanan disifatkan sebagai kes terpencil.
Sebaliknya, beliau berkata, terdapat maklum balas positif daripada pengunjung bahawa standard kebersihan di daerah itu telah meningkat berbanding masa lalu.