KOTA KINABALU: Pengerusi TABS Safa Bandaraya Kota Kinabalu, Sulaiman Mohd Noor hari ini menjelaskan bahawa hantaran di facebook yang memberi gambaran tidak baik terhadap TABS adalah satu bentuk “tohmahan” yang tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, pihak yang melakukan perbuatan itu mungkin disebabkan mereka tidak mengetahui situasi sebenar dan hanya dipengaruhi individu tertentu yang berniat ingin mencemarkan nama TABS.
“Perbuatan itu sangat tidak baik menggunakan media sosial untuk memberi gambaran buruk kepada TABS,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.
Penularan hantaran di facebook membabitkan pasukan TABS B11 itu timbul apabila jurulatih pada awalnya, Suriadi Sarman direhatkan serta merta susulan beberapa tindakannya didapati menjejaskan nama TABS.
Ekoran perehatan itu, TABS terpaksa menugaskan jurulatih Asroff dan penolongnya, Asmady Madi mengendalikan pasukan ke Piala Borneo walaupun banyak gangguan daripada Bagyo yang sepatutnya dia tidak lakukan berdasarkan kandungan surat perehatan yang diberikan kepadanya.
“Dia (Bagyo) juga merancang dan mempengaruhi ibu bapa supaya pasukan itu dilihat banyak kecacatan untuk memberi gambaran tidak baik terhadap TABS”, katanya.
Pengerusi TABS itu berkata, sepanjang penyertaan pasukannya dalam Piala Borneo lebih 10 tahun lalu, tiada pernah berlaku tohmahan seperti itu berdasarkan rekod yang ada.
Bagaimanapun, kehadiran jurulatih tersebut (Bagyo) bersama TABS didapati banyak menimbulkan masalah terutama cuba mempengaruhi ibu bapa dengan memberi gambaran buruk kepada TABS.
“Ibu bapa khususnya anak-anak mereka terlibat dalam pasukan B11 seharusnya merujuk kita tentang perbuatan jurulatih itu sebelum melakukan hantaran di media sosial dan juga sebab-sebab jurulatih itu terpaksa direhatkan”.
Katanya, banyak perkara lain yang dilakukan bekas jurulatih itu tidak disedari oleh ibu bapa termasuk penyertaan dalam satu karnival bola sepak Piala Merdeka di Sandakan baru-baru ini menggunakan nama TABS supaya dilihat gah namun dalam penyertaannya ditukarkan dengan BHS Akademi.
“Tindakan itu merupakan kesalahan yang tidak boleh diterima TABS dan kita mesti mengambil tindakan yang sewajarnya”.
Sulaiman menambah, pihaknya masih menyiasat perkara itu dan menugaskan pegawai untuk berhubung dengan penganjurnya, Persatuan Bola Sepak Daerah Sandakan untuk membolehkan tindakan undang-undang diambil.
“Kita sedang mendapatkan pandangan peguam sebelum tindakan undang-undang dilakukan kepada bekas jurulatih berkenaan. Kita beranggapan perkara ini tidak sepatutnya berlaku menggunakan jenama TABS untuk agenda tersembunyi,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa yang anak mereka terbabit dalam pasukan B11 menghentikan penularan dengan memberi gambaran yang tidak baik terhadap pasukan tersebut.
“Anak mereka adalah pemain dalam pasukan itu, sebarang kesilapan memberi gambaran buruk terhadap pasukan, ia ibarat mengoloh anak-anak mereka sendiri dan kesilapan seperti itu mesti diperbaiki dengan sikap rasional dan positif,” kata beliau.