TAWAU : Polis menahan seorang suspek lelaki dan merampas dadah jenis syabu di kawasan perumahan Jalan Kuhara, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Ketua Balai Polis Tawau Asistan Superintenden, Jafri Abd Hamid selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Katanya, bertindak atas maklumat Polis membuat pemerhatian di hadapan sebuah rumah yang disyaki digunakan sebagai tempat aktiviti penyalahgunaan dadah.
“Ketika serbuan dilakukan pihak polis mendapati pintu utama rumah tidak berkunci dan pasukan serbuan menyerbu masuk ke dalam rumah tersebut.
“Hasil pemeriksaan di dalam rumah terdapat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan lanjut menemui sebuah kotak rokok di atas lantai bersebelahan dengan suspek dan di dalamnya terdapat satu paket plastik lutsinar jernih yang disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 0.06 gram,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Jasmin berkata, semasa proses tangkapan dilakukan suspek bertindak agresif serta cuba melarikan diri sekali gus pihaknya menggunakan kekerasan minima untuk melaksanakan tangkapan ke atas suspek berkenaan.
“Suspek bersama barang rampasan dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut dan akan kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati, suspek warga tempatan berumur 31 tahun itu pernah ditahan kerana terlibat dengan kes jenayah dan dadah,” jelas Jasmin.
Menurutny, Polis Tawau sedang mempergiatkan usaha membanteras kegiatan jenayah dan dadah dari masa ke masa dengan operasi yang lebih agresif.
“Kita menyeru agar masyarakat Tawau dapat menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan dadah termasuk di kalangan ahli keluarga, jiran dan warga sekampung yang disyaki terlibat dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang boleh menghubungi talian hotline 089-772121 atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP),” tambah Jasmin.