TAWAU : Seorang lelaki tular berada dalam senarai dikehendaki polis selepas disyaki mencuri beberapa helai tudung di sebuah kedai, berjaya diberkas di sekitar kawasan Batu 2, Jalan Apas, Tawau pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek merupakan warga tempatan berumur 48 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), IPD Tawau selepas menerima maklumat awam kira-kira jam 8.30 pagi.
Katanya, polis kemudiannya bertindak atas maklumat menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di kawasan Batu 2, Jalan Apas sekali gus merampas pakaian digunakan suspek ketika melakukan jenayah terbabit.
“Siasatan awal mendapati suspek juga mempunyai empat kesalahan lampau iaitu dua kes berkaitan jenayah manakala dua kes lagi melibatkan kes dadah serta merupakan individu dikehendaki polis.
“Polis menerima satu laporan daripada seorang usahawan kedai di bandar Tawau mendakwa tudung digantung dijual di kedainya berkurangan menyebabkan mangsa mengalami kerugian lebih kurang RM600.
Jasmin berkata, pemeriksaan melalui rakaman kamera litar tertutup CCTV mendapati seorang suspek lelaki tidak dikenali mengambil beberapa helai tudung di kedai berkenaan.
“Peniaga berkenaan mendakwa tudung terbabit digantung di bahagian rak di hadapan kedainya, mendakwa suspek mengambil tudung berkenaan dalam dua kali kejadian kemudiannya terus beredar meninggalkan kedai tersebut.
“Setakat ini siasatan masih dijalankan dalam usaha mendapatkan semula barang didawa dicuri manakala kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun keseksaan,” jelas Jasmin.