SPRM Sabah tahan perunding syarikat tuntut lebih RM400,000 mengandungi matan palsu kepada agensi kerajaan

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang perunding syarikat kerana disyaki mengemukakan tuntutan hampir lebih RM400,000 menggunakan dokumen mengandungi butir matan palsu kepada sebuah agensi kerajaan negeri.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 50an dipercayai mengemukakan tuntutan palsu membabitkan pembekalan mesin kepada usahawan membabitkan dana Program Bantuan Industri Kecil Sederhana (BAIKS),

“Perbuatan berkenaan telah dilakukan suspek sekitar tahun 2023 sedangkan mesin tidak dibekalkan oleh syarikat suspek.

“Suspek telah ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi ketika hadir bagi memberi keterangan di SPRM Sabah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Karunanithy a/l Y. Subbiah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 & 18 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu bagi tujuan permohonan reman esok pagi.