SPRM Labuan tahan kontraktor kemuka tuntutan palsu RM300,000

SPRM Labuan tahan kontraktor kemuka butir matan palsu RM300,000

LABUAN : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Labuan, menahan reman seorang pemilik syarikat kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu, di sini semalam.

Ini melibatkan kerja-kerja pendawaian senggaraan bangunan di sebuah agensi kerajaan di wilayah tersebut bernilai kira-kira RM300,000.

Perintah reman selama lima hari sehingga 15 Januari 2025 telah dikeluarkan Majistret Kasyfurrahman Abang Ahmad selepas SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Labuan pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 30-an ditahan kira-kira jam 5.00 petang semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di SPRM Labuan.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2022.

“Suspek juga disyaki mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu bagi kerja pendawaian senggaraan bangunan bernilai kira-kira RM300,000 sedangkan kerja tersebut tidak dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Labuan, Muhammat Azis Malmod ketika dihubungi  mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.