KOTA KINABALU : Slogan ’Sabah Maju Jaya’ (SMJ) perlu direalisasikan untuk mengatasi masalah kemiskinan tegar di lapan daerah di Sabah yang diumumkan berada dalam garis kemiskinan tegar di seluruh negara ini.
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, lapan daerah itu merangkumi Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Ranau, Lahad Datu termasuk daerah Tuaran berada dalam kawasan Ketua Menteri perlu keluar dari garis kemiskinan tegar.
Katanya, slogan SMJ tidak harus retorik semata-mata tetapi Kerajaan negeri perlu memberi tumpuan kepada sektor pertanian bagi membantu golongan miskin di negeri ini khususnya di luar bandar.
“Apa yang pasti rakyat kini sangat terkesan dengan kemudahan asas jalanraya, bekalan air dan elektrik yang masih belum dapat diselesaikan sehingga hari ini.
“Kerajaan menggalakan agar rakyat menceburi bidang pertanian bagi menambah sumber pendapatan…Tetapi dalam masa sama rakyat berhadapan dengan kemudahan sistem perhubungan jalan raya yang tidak sempurna.
“Bagaimana rakyat yang ingin membawa keluar hasil pertanian untuk dipasarkan kepada orang ramai jika sistem perhubungan jalan raya masih berada pada tahap yang kurang baik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bung Moktar merupakan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah berkata, kerajaan negeri sebaiknya tidak bergantung sepenuhnya kepada peruntukan dari Kerajaan Pusat untuk membangunkan Sabah dan mengeluarkan rakyatnya dari garis kemiskinan tegar.
“Kerajaan negeri beberapa kali mengumumkan mempunyai simpanan kewangan yang banyak, justeru gunakanlah untuk membantu memajukan negeri sekali gus meningkatkan ekonomi rakyat melalui pelbagai insiatif serta bantuan yang mampu meningkatkan taraf siso ekonomi mereka.
