KOTA KINABALU : Rang Undang-Undang Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024 akan memberi kuasa kepada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECOS) mengawal selia industri bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, ini memastikan agar segala aktiviti berkaitan bekalan elektrik serta tenaga boleh baharu dapat dijalankan secara berterus serta menyeluruh tanpa sebarang gangguan.
Menurutnya, seiring dengan persetujuan bersama Kerajaan Negeri Sabah melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pengambilalihan Kuasa Kawal Selia Bekalan Elektrik daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sabah pada 12 Jun 2023.
“Ini bagi memastikan fungsi dan kuasa kawal selia bekalan elektrik dimasukkan ke dalam Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024, di bawah Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan iaitu penggantungan Akta Bekalan Elektrik 1990, Akta Tenaga Boleh Baharu 2011 dan Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011 di Negeri Sabah.
“Ia telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 22 Disember 2023 dan tarikh berkuatkuasa adalah pada hari ini, 03 Januari 2024.
“Rang Undang-Undang Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024 dibentang pada hari ini bertujuan memasukkan fungsi serta kuasa berkenaan dengan bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu kepada pihak Energy Commission of Sabah (ECoS) bagi mengambil alih fungsi dan kuasa daripada pihak Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri perbahasan Rang undang-Undang Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024, di sini hari ini.
Hajiji berkata, Pindaan pertama dilakukan kepada Fasal 2 dengan memasukkan perenggan baru selepas takrif “jawatankuasa” iaitu takrif elektrik dan takrif undang-undang pembekalan elektrik.
Manakala meruju mepada Perenggan 2 (b), (c), (d), (e), (f), (g), (h) dan (i) juga dipinda mengikut kesesuaian untuk memasukkan kuasa kawal selia bagi bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu.
“Pindaan kedua dilakukan pindaan kepada Fasal 14 dengan menambah tiga (3) perenggan baharu untuk memberi kuasa kepada ECoS untuk menasihati Menteri tentang segala perkara yang berhubung dengan elektrik dan kuasa untuk mengawal selia segala perkara yang berkaitan dengan industri pembekalan elektrik.
“Ini merujuk kepada Perenggan (e), (f), (g), (h) dan (i) juga diubah untuk memberi kuasa kepada ECoS untuk menyelia aktiviti bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu,” jelas Hajiji.