KUALA LUMPUR: PRU15 akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang, dan tidak akan dilengahkan sejurus Barisan Nasional bersedia.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian kepada 4,000 perwakilan di majlis ulangtahun gabungan itu.
Beliau menyeru BN membuat persiapan sebaik mungkin agar “mimpi buruk 22 bulan” ketika gabungan itu menjadi pembangkang selepas kekalahan PRU14 tidak berulang.
“Kita wajib bekerja keras, bersiap siaga dan bersatu padu, dalam menghadapi PRU15 yang akan tiba bila-bila masa dari sekarang,” katanya dalam laporan FMT dalam ucapan, sempena konvensyen ulang tahun BN ke-48 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, beliau beri jaminan tidak akan melengah-lengkah memohon pembubaran Parlimen, sejurus BN bersedia.
“Jika BN sudah bersiap sedia, saya tidak akan melewatkan sesaat pun PRU15 seperti dipersetujui dalam perhimpunan agung Umno sebelum ini,” katanya, dan menambah akan berbincang dengan kepimpinan BN untuk menentukan tarikh PRU.
Terdahulu, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di majlis sama memberi bayangan BN akan berdepan “risiko besar” jika PRU15 ditangguhkan untuk tempoh lama.
Bayangan itu senada desakan tampuk kepimpinan Umno bahawa BN harus segera memanfaatkan sentimen dalam kalangan pengundi yang memihak kepada gabungan itu, berdasarkan hasil PRN kebelakangan ini, selepas memorandum persefahaman bersama pembangkang tamat pada Julai.
Pengumuman Ismail ini di sebalik peringatan daripada Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman, bahawa keputusan untuk membubarkan Parlimen terletak pada Jemaah Menteri.
“Hanya Kabinet boleh membubarkan Parlimen, bukannya perdana menteri,” katanya dalam satu majlis semalam.