KOTA KINABALU: Kritikan baru-baru ini terhadap Parti Bersatu Sabah (PBS) serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menunjukkan sokongan rakyat kini semakin meningkat kepada pentadbiran berasaskan kepimpinan tempatan di Sabah.
Ahli Majlis Tertinggi PBS, Datuk Fredian Gan berkata, serangan terhadap pendirian PBS itu sebagai tidak jujur sekali gus menegaskan bahawa mempertahankan hak Sabah sentiasa menjadi asas penubuhan serta perjuangan PBS sebagai sebuah parti politik.
“Pertama sekali, perjuangan untuk hak-hak negeri adalah sebab utama kewujudan PBS sebagai parti politik.
“Urusan rumah tangga kita tidak sepatutnya ditentukan oleh pihak luar; pendirian PBS dalam hal ini tidak pernah berubah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fredian berkata, beliau turut memberi peringatan supaya tidak menyalahertikan gesaan kepimpinan tempatan sebagai bersifat anti-Persekutuan.
“Kedua, dan secara lebih umum, seruan agar parti tempatan menerajui urusan pentadbiran Sabah tidak seharusnya sama sekali disamakan dengan sentimen anti-Persekutuan. Itu adalah tanggapan yang sangat tidak tepat,” katanya.
Beliau mengingatkan pengkritik bahawa konsep autonomi negeri sebenarnya telah tertanam dalam asas pembentukan Malaysia menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Seruan agar parti tempatan menerajui pentadbiran negeri sebenarnya kembali kepada semangat MA63 dan pembentukan Malaysia itu sendiri.
“Ia adalah sebab utama mengapa pemimpin Sarawak dan Sabah ketika itu menegaskan perlunya MA63 sebagai prasyarat pembentukan negara kita,” jelasnya.
Menurut Fredian, ketegasan pemimpin Sabah terdahulu itu berteraskan prinsip “berasingan tetapi setara” dalam Persekutuan.
“Seperti rakyat Sarawak, rakyat Sabah juga bangga menjadi rakyat Malaysia setaraf dengan rakyat negeri lain.
“Seruan agar parti tempatan memimpin merupakan tuntutan yang jujur dan jelas agar rakyat Sabah menjadi penentu utama dalam hal ehwal dan masa depan negeri tercinta kita; tidak lebih, tidak kurang,” katanya.
Fredian turut menolak sebarang gambaran bahawa isu ini bersifat eksklusif atau meminggirkan, sebaliknya ia merupakan seruan ke arah kerjasama dan penyertaan yang tulen.
“Ia sebenarnya satu pendirian untuk penyertaan, bukannya pengasingan.
“Lagipun, itulah makna sebenar sebuah kerjasama yang ikhlas – membolehkan setiap pihak di meja rundingan menyuarakan pandangan dengan bebas, tanpa dikongkong oleh pihak lain, secara langsung mahupun tidak langsung,” katanya.